KUCHING: Petang semalam dengan berlatar belakangkan bangunan DUN di seberang Sungai Sarawak telah diadakan sessi rakaman pengambaran khas bagi program Ghazpirasi terbitan TVS bertempat di Hotel Waterfront di sini.
Tetamu istimewa Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Zohari Tun Openg telah ditemuramah oleh hos muda Ghaz Zawawi bagi episod khas yang akan disiarkan sempena Hari Sarawak pada 22 Julai hadapan.
Sebagai seorang tokoh kepimpinan yang telah menyaksikan kelangsungan kemerdekaan Sarawak bermula daripada peristiwa penyerahan kuasa pemerintahan daripada koloni British kepada Stephen Kalong Ningkan (Tan Sri Datuk Amar), Ketua Menteri anak Sarawak pertama pada 22 Julai 1963, Datuk Patinggi Abang Zohari adalah pemimpin yang selayaknya untuk menyingkap liku-liku perjalanan kemerdekaan Sarawak dari dahulu hingga sekarang.
Berumur 13 tahun pada 1963 dan sebagai anakanda kepada Gabenor anak watan pertama Sarawak, iaitu Tun Datuk Abang Haji Openg, Datuk Patinggi Abang Jo telah berpeluang melihat berlakunya berberapa peristiwa sehingga turunnya bendera Union Jack lalu Sarawak berjaya mencapai status “self-government” daripada pemerintahan British.
Rakaman untuk episod 45 minit tersebut bagi musim kedua dijadualkan untuk ke udara pada 21 Julai, jam 9.00 malam di TVS melalui ASTRO Saluran 122 atau MyTV sebagai salah satu pengisian program-program sempena sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai.
Sumber dari : Sarawakku